Followers

Wednesday 16 May 2012

Wanita Tua Yang Hanya Berbicara Menggunakan al-Quran



Berkata Abdullah bin Mubarak r.a.:

Saya berangkat menunaikan haji ke Baitullah al-Haram dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Ketika saya berada di sudut jalan, tiba-tiba saya melihat sesusuk tubuh yang berpakaian hitam yang diperbuat daripada bulu. Ia adalah seorang perempuan tua.

Saya berhenti sejenak dan memberi salam kepadanya. Maka, terjadilah dialog dengan wanita tersebut selama beberapa ketika.

Dalam dialog tersebut, wanita tua itu menjawab dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran terhadap setiap pertanyaan saya (Abdullah bin Mubarak).


**Berikut ialah dialog antara dua hamba Allah di atas.**


Abdullah: “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”

Wanita tua:

سَلَـٰمٌ قَولاً مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ

"Ucapan salam sejahtera daripada Tuhan Yang Maha Mengasihani."
(Yaa Siin 56)


Abdullah: “Semoga Allah merahmati anda, mengapa anda berada di tempat ini?”

Wanita tua:

مَن يُضلِلِ ٱللَّهُ فَلَا هَادِىَ لَهُ

"Barang siapa disesatkan Allah, maka tiada petunjuk baginya."
(Al-A’raaf 186)


Dengan jawapan ini, maka tahulah saya bahawa wanita tua itu telah tersesat jalan.


Abdullah: “Kemana anda hendak pergi?”

Wanita tua:

سُبحَـٰنَ ٱلَّذِى أَسرَىٰ بِعَبدِهِۦ لَيلاً مِّنَ ٱلمَسجِدِ ٱلحَرَامِ إِلَى ٱلمَسجِدِ ٱلأَقصَا

"Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya di waktu malam dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin)."
(Al-Israa’ 1)


Dengan jawapan ini, saya mengerti bahawa dia sedang mengerjakan haji dan hendak menuju ke Masjidil Aqsa.


Abdullah: “Sudah berapa lama anda berada di sini?”

Wanita tua:

ثَلَـٰثَ لَيَالٍ سَوِيًّا

"Selama tiga malam dalam keadaan sihat.”
(Maryam 10)


Abdullah: “Apa yang anda makan selama dalam perjalanan?”

Wanita tua:

وَٱلَّذِى هُوَ يُطعِمُنِى وَيَسقِينِ

"Dialah Allah pemberi aku makan dan minum."
(Asy-Syu’araa’ 79)


Abdullah: “Dengan apa anda melakukan wudhu?”

Wanita tua:

فَلَم تَجِدُواْ مَآءً فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدًا طَيِّبًا

"Apabila tiada air maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah, debu yang bersih."
(Al-Maaidah 6)


Abdullah: “Saya mempunyai sedikit makanan, apakah anda mahu menikmatinya?”

Wanita tua:

ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيلِ‌

"Kemudian sempurnakanlah puasamu sampai malam, maghrib."
(Al- Baqarah 187)


Abdullah: “Bukankah diperbolehkan berbuka ketika musafir?”

Wanita tua:

وَأَن تَصُومُواْ خَيرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُم تَعلَمُونَ

"Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui."
(Al- Baqarah 184)


Abdullah: “Mengapa anda tidak menjawab sesuai dengan pertanyaan saya?”

Wanita tua:

مَّا يَلفِظُ مِن قَولٍ إِلَّا لَدَيهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

"Tiada satu ucapan yang diucapkan, kecuali padanya ada Raqib ‘Atid."
(Qaaf 18)


Abdullah: “Anda termasuk jenis manusia yang manakah, hingga bersikap seperti itu?”

Wanita tua:

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ ‌إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰئكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً

"Jangan kamu ikuti apa yang tidak kamu ketahui, kerana pendengaran, penglihatan dan hati, semua akan dipertanggungjawabkan."
(Al-Israa’ 36)


Abdullah: “Saya telah berbuat salah, maafkan saya.”

Wanita tua:

قَالَ لَا تَثرِيبَ عَلَيكُمُ ٱليَومَ‌ يَغفِرُ ٱللَّهُ لَكُم وَهُوَ أَرحَمُ ٱلرَّٲحِمِينَ

"Pada hari ini tidak ada cercaan untuk kamu, Allah telah mengampuni kamu dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani."
(Yusuf 92)


Abdullah: “Bolehkah saya mengangkatmu untuk naik ke atas untaku ini, untuk melanjutkan perjalanan kerana anda akan menjumpai kabilah yang di hadapan.”

Wanita tua :
وَمَا تَفعَلُواْ مِن خَيرٍ يَعلَمهُ ٱللَّهُ‌
"Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah."
(Al-Baqarah 197)


Lalu wanita tua ini berpaling daripada untaku sambil berkata :

قُل لِّلمُؤمِنِينَ يَغُضُّواْ مِن أَبصَـٰرِهِم

"Katakanlah pada orang-orang mukminin, tundukkan pandangan mereka."
(An-Nuur 30)


Maka saya pun memejamkan pandangan saya, sambil mempersilakan dia menaiki unta.

Tiba-tiba terdengar koyakan pada pakaiannya kerana unta itu terlalu tinggi baginya.

Wanita tua itu pun berkata:

مَآ أَصَـٰبَكُمْ مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيدِيكُم

"Apa saja yang menimpa kamu disebabkan perbuatanmu sendiri."
(Asy-Syuura 30)


Setelah selesai mengikat unta itu, saya pun mempersilakan wanita tua itu naik.

Wanita tua berkata:

سُبحَـٰنَ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَـٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ ۥ مُقرِنِينَ وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ

"Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya , Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali."
(Az-Zukhruf 13-14)


Saya pun segera memegang tali unta itu dan melarikannya dengan sangat pantas.

Wanita tua itu berkata lagi:

وَٱقصِد فِى مَشيِكَ وَٱغضُض مِن صَوتِكَ‌

"Sederhanakan jalanmu dan lunakkanlah suaramu."
(Luqman 19)

Lalu aku jadikan unta itu berjalan dengan perlahan, sambil mendendangkan beberapa syair.

Wanita tua itu pun berkata:

فَٱقرَءُواْ مَا تَيَسَّرَ مِنَ ٱلقُرءَانِ‌

"Bacalah apa-apa yang mudah daripada al-Quran."
(Al-Muzzammil 20)

Abdullah: “Sungguh anda telah diberi kebaikan yang banyak.”

Wanita tua:

وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلأَلبَـٰبِ

"Dan tidaklah mengingati Allah itu kecuali orang yang berilmu."
(Al- Baqarah 269)


Dalam perjalanan itu saya bertanya kepadanya.


Abdullah: “Apakah anda mempunyai suami?”

Wanita tua

لَا تَسـَٔلُواْ عَن أَشيَآءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُمْ

"Jangan kamu bertanyakan sesuatu, jika itu akan menyusahkanmu."
(Al-Maaidah 101)


Maka aku senyap seketika sehingga berjumpa dengan kabilah di hadapan kami.


Abdullah: “Adakah orang anda berada dalam kafilah itu?”


Wanita tua

ٱلمَالُ وَٱلبَنُونَ زِينَةُ ٱلحَيَوٰةِ ٱلدُّنيَا‌

"Adapun harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia."
(Al-Kahf 46)


Baru saya mengerti bahawa dia juga mempunyai anak.


Abdullah: “Bagaimana keadaan mereka dalam perjalanan ini?”

Wanita tua:

وَبِٱلنَّجمِ هُم يَهْتَدُونَ

"Dan dengan tanda bintang-bintang mereka mengetahui petunjuk."
(Al-Nahl 16)


Daripada jawapan ini, saya dapat faham bahawa mereka datang mengerjakan ibadah haji mengikuti beberapa petunjuk. Kemudian saya bersama wanita tua ini menuju ke tempat perkhemahan.


Abdullah: “Adakah kamu kenal orang yang berada dalam khemah ini?”

Wanita tua:

وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبرَاهِيمَ خَلِيلاً

"Kami jadikan Ibrahim itu sebagai yang nabi yang dikasihi."
(An-Nisaa’ 125)

وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا

"Dan Allah berkata-kata kepada Musa."
(An-Nisaa’ 164)

يَـٰيَحيَىٰ خُذِ ٱلكِتَـٰبَ بِقُوَّةٍ

"Wahai Yahya! Pelajarilah kitab itu bersungguh-sungguh."
(Maryam 12)


Lalu saya memanggil ya Ibrahim, ya Musa, ya Yahya, maka keluarlah anak-anak muda yang bernama tersebut. Wajah mereka tampan dan ceria, seperti bulan yang baru muncul. Setelah tiga anak ini datang dan duduk dengan tenang, maka berkatalah wanita tua itu:

فَٱبعَثُواْ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُم هَـٰذِهِۦ إِلَى ٱلمَدِينَةِ فَليَنظُر أَيُّهَآ أَزكَىٰ طَعَامًا

"Maka suruhlah salah seorang daripada kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak ini, dan carilah makanan yang lebih baik agar dia membawa makanan itu untukmu."
(Al-Kahf 19)


Maka salah seorang daripada tiga anak ini pergi untuk membeli makanan, kemudian dihidangkan di hadapanku, lalu wanita tua itu berkata:

كُلُواْ وَٱشرَبُواْ هَنِيـئًا بِمَآ أَسلَفتُم فِى ٱلأَيَّامِ ٱلخَالِيَةِ

"Makan dan minumlah kamu dengan sedap, sebab amal-amal yang telah kamu kerjakan di hari-hari yang telah lalu."
(Al-Haaqqah 24)


Abdullah: “Makanlah kalian semuanya makanan ini. Aku belum akan memakannya sebelum kalian mengatakan padaku siapakah perempuan ini sebenarnya.”


Ketiga anak muda ini secara serentak berkata:

“Beliau adalah orang tua kami. Selama empat puluh tahun beliau hanya berbicara menggunakan ayat-ayat al-Quran, hanya kerana bimbang tersalah bicara.”


Lalu Abdullah bin Mubarak berkata Maha Suci Zat Yang Maha Kuasa terhadap sesuatu yang dikehendaki-Nya dan berkata:

ذَلِكَ فَضلُ ٱللَّهِ يُؤتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ وَٱللَّهُ ذُو ٱلفَضلِ ٱلعَظِيمِ

"Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Al-Hadiid 21)


Sumber: KaifaTahfazul Quran (Dr. Mustafa Murad)


http://musafirperjuangan85.blogspot.com/2012/05/wanita-tua-yang-hanya-berbicara.html

No comments:

Post a Comment