Followers

Friday 24 February 2012

Kisah Rasulullah Sebagai Pengajaran..

                                    

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa 
perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan 
keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak 
untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu
isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, 
beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat 
pula kembali sesudah selesai sembahyang."

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. 
Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada 
kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya 
Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 
'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 
"Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku 
puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. 
Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab 
dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap
 degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. 
"Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-
anakmu?"

6) Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah 
lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi 
ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin 
umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan 
baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka 
mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia 
itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan 
baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat,
tuan sakitkah ya Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar 
seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." 
desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda 
yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa 
lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya 
tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak 
akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para 
sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah 
akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban 
kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang 
kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang 
penuh kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab
Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda 
membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan 
lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah 
sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya 
merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di 
waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya
oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa 
engkau masih bersusah payah begini?"

Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? 
Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."




~P.E.N.A.H.A.T.I.K.U~
Ya Allah..
Saksikanlah..
Kami amat merindui kekasihMu..


No comments:

Post a Comment