"Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu.
Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah didaftar anak
bumi yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas Kasih-Nya
kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dan jiwa di
seberang masyrik dan maghrib telah terkungkung di bawah satu
perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau
mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya
dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu
nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian, dua jiwa berenang di langit
khayal, di waktu orang lain terbenam, keduanya berdiam di dalam
kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersungguh-
sungguh.
Dan jika engkau mencintai tetapi cintamu tak terbalas, senangkan jugalah
hatimu. Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan
dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jatuh dari
matanya: dia akan cinta , cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta
lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian
meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Dengan sebab itu,
engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak
ada pada insan, ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah
menerima dan menyuburkan cinta, walau bagaimana besarnya
tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah
tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau
tak tahu bila lalunya.
Hendaklah engkau menjadi orang yang besar, yang sanggup memikul
cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang
rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke
bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng
yang gagah perkasa yang sukar ditempuh oleh manusia biasa. Kerana
tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan
yang diletakkan oleh kerinduan itu sendiri.'
~P.E.N.A.H.A.T.I.K.U~
Cinta yang sejati adalah cinta di antara dua hamba Allah yang dipaterikan
oleh cinta kepada Allah. Janganlah kita berkhayal kerana iblis suka
meracuni jiwa yang lalai.
No comments:
Post a Comment